Saya memulakan
“jelajah” saya ke alam pembacaan. Ke dunia Dr. A’idh al-Qarni, penulis kelahiran
Saudi yang begitu profilik. Bukunya “Jadilah Pemuda Kahfi” yang saya beli
semalam, adalah bahagian pertama terjemahan daripada karyanya “Fityatun Amanu
bi Rabbihim”, yang memaparkan ekpresi cinta seorang ulama’ kepada para pemuda.
Dr. A’idh
al-Qarni ketika membicarakan fenomena pemuda yang ngak pernah dan ngak mahu
hadir ke ceramah agama, sebagai turut bermodalkan “kita-kita” ini yang mengaku
beriman. Kata al-Qarni; “Dalam hal ini kita juga bersalah. Mengapa kita tidak
pergi menemui mereka? Mengapa kita tidak memberikan cinta kita kepada mereka,
dan enggan bersamanya?” Begitulah Dr. al-Qarni memperingatkan kita. Dalam erti
kata yang lain, beliau menghidupkan kembali pesanan Ustadz Hassan Hudhaibi,
jadilah penda’wah bukannya penghukum!
Mengapa anda
marah kepada para “pemuka penyeru kesesatan”, sedangkan anda sendiri tidak mahu
muncul sebagai “pemuda kebenaran”? Mengapa anda rimas melihat kejayaan seruan
kelalaian dan penyimpangan, sedangkan anda sendiri tahu bahawa “tipu daya
syaitan itu lemah?” Bukankah manusia mudah didominasi oleh pengaruh kata-kata?
“Dan di antara
manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu.. “
(Surah al-Baqarah [2]:204)
Nah, mengapa
“kuasa” kata-kata kebenaran tidak jua muncul tiba, lalu menenggelamkan pengaruh
kata-kata penyeru kelalaian? “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada
orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata:
“Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (Surah Fushilat
[41]:33)
Masakan tidak
“lakunya” seruan pemuka kebatilan, lantaran kesilapan para pemuda kebenaran.
Bukan, tiada yang mahu menjadi pemuda kebenaran. Masing-masing sibuk berantakan
sesama sendiri, bergaduh-bertengkar masalah “ummah centric vs jemaah centric”
sehingga 100 lebih posting, berbanding menjadi pemuda kebenaran yang
menenggelamkan pengaruh pemuka kebatilan, sehingga mana para pemuda belia kita
tadi berovolusi daripada sang penggemar keseronokan dan kelalaian kepada sebuah
asset kekuatan Islam. Kata Imam as-Syahid Hassan al-Banna; “khilaf (perbezaan
pendapat) dalam masalah furu’ (cabang) hendaknya tidak menjadi faktor pemecah
belah dalam agama, tidak menyebabkan permusuhan dan tidak juga kebencian…”
Sambung Imam
as-Syahid lagi; “setiap masalah yang amal tidak dibangun di atasnya –sehingga
menimbulkan perbincangan yang tidak perlu- adalah kegiatan yang dilarang secara
syar’i..” Lebih mendalam lagi, syaikh Muhammad ‘Abdullah al-Khatib menghuraikan
seperti berikut: “bertengkar dan ta’assub…..semua itu boleh mengeraskan hati, memarakkan
api kemarahan dan menjadikan kita buta dari melihat kebenaran serta mengikut
telunjuk hawa nafsu.” Maka, ayuhlah kita sahut kembali slogan hasil gagasan
pemikiran pemuda kebenaran syaikh Rasyid Ridha: kita Bantu-membantu dalam
masalah yang kita sepakati, dan bersikap toleransi dalam masalah yang kita
perselisihkan. Dalam hal ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi berfatwa: “sikap tasamuh
(toleran) terhadap orang-orang yang berbeda pendapat dengan kita selama mereka
mempunyai sandaran yang mereka jadikan pegangan dan mereka merasa mantap
dengannya, walaupun kita berbeda pendapat dengan mereka dalam mentarjih apa
yang mereka tarjihkan.”
Menjadi pemuda
kebenaran ini bererti anda membina ukhwah fillah dengan saudara anda. Bukan
sahaja saudara sesama gerakan Islam, tetapi juga saudara Muslim di luar
lingkaran tersebut, yang diukir kalimah cinta buat mereka oleh Dr. A’idh
al-Qarni tadi. Ukhuwwah –kata ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan-merupakan kekuatan iman di
jiwa, yang membuatkan perasaan menjadi lembut, berkasih sayang, hormat-menghormati
dan saling percaya-mempercayai bersama setiap orang yang terikat dalam
tanggung-jawab ‘aqidah islamiyyah, iman dan taqwa. Inilah semanggat futuwwah
yang dilaung-laungkan oleh Muhammad Ameen dan rakan-rakan: kesatrian spiritual
yang menenggelamkan kapal keasyik-lalaian duniawi.
Ingatlah, tasbih
di saat-saat berharga dan menjalin persaudaraan seiman merupakan dua penopang
yang satu sama lainnya saling berkaitan, keduanya itu perlu pada hati yang suci
bersih. Kerana hati itu umpama tongkat sinyal di stesyen keretapi. Dengan
menggerakkannya sedikit, rel akan bergeser, dan perjalanan keretapi pun berubah
arah. Demikianlah dengan hati. Gerak hati akan menentukan arah kehidupan
seseorang sama adamemikirkan “dalil dan hujah” untuk menghentam lagi membenamkan
sesama saudara pejuang keadilan, dan membiarkan pemuka kebatilan meraih
“pengikut” semau-maunya, atau dengan penuh ikhlas dan ketawadhukkan membina
ukhwah dengan berpaterikan keimanan dan ketaqwaan.
Semangat
fanatisme yang merasuk jiwa sebahagian pemuda ini –menurut syaikh Musthafa
Muhammad Thahan- sebagai penyebab utama perbalahan ini. Lalu kewajipan wihdah
(penyatuan) yang kita harapkan, sekadar bayangan di tengah malam. Ingatlah,
perselisihan tidak diingini walaupun diizinkan. Berkumpulnya dua hal yang
berlawanan (fanatisme kelompok dan kesatuan ummah) dalam satu tempat dan masa,
mustahil (tidak mungkin), sebagaimana berkumpul antara diam dengan gerak,
antara cahaya terang dan gelap.
Alangkah baiknya
daripada sibuk mencari aib sesama, kita beralih melihat aib sendiri? Alangkah
baiknya daripada sibuk menghukum pelaku kemungkaran, dikau tangisi kelemahan
dirimu yang lengah dan lupa menjadi penyeru kebenaran? Hati yang bersih tampak
pada lapangnya dadamu daripada kebencian dan menjauh dikau dari sifat suka
berdebat, lalu tercermin pada rasa takut (pada dosa-lara mu pada ALLAH) yang
mencabik-cabik hati, dan membuat mereka banjir air mata. Pandanglah para pemuda
pelaku kemungkaran itu dari sisi lain: sebagai cadangan-cadangan iman dan
“kekayaan” yang melimpah! Namun, mereka memerlukan orang yang datang untuk
menyeru dan mengingatkannya, menyingkap tabir kegelapan darinya, dan menggosok
karat yang melekat padanya. Sehingga, dia akan kembali bersih, suci dan kuat
dengan izin ALLAH. Atau, dalam erti kata yang lain, berbalik pada tema
perbincangan kita tadi: jadilah pemuda kebenaran! Jadilah pejuang Cinta! Maka
sahutlah seruan Jalaluddin Rumi ini, wahai para pejuang cinta!
Saudara,
Menjadi seorang pencinta harus menelan
dukanya!
Di manakah dukamu?
Diam dan kesabaran memerlukan sebuah
kedewasaan
Di manakah kedewasaan?
Berapa lama doamu terhijab
Dan fikr-mu tersendat?
Di manakah teriakan penuh ghairah dan kuning
wajah?
Aku tidak mencari “zat mukjizat” atau emas
Di manakah kemurnian tembaga?
Dapatkah murid yang suam-suam meraih ghairah
cinta?
Apalagi jika dia beku?18
(Diwan-I Syamsi Tabriz: 2206)



0 comments:
Post a Comment